#174 - TV Android TCL Lama
Di rumah, saya ada sebuah TV TCL lama yang dibeli sekitar tahun 2020. TV ini menggunakan Android. Secara keseluruhannya masih berfungsi dengan baik. Skrin utamanya penuh dengan cadangan filem, iklan dan “aplikasi pilihan” yang kita tak pernah guna.
Selepas pengalaman memasang KOReader pada Kobo lama , saya terfikir nak ubahsuai sistem dan aplikasi dalam TV. Dalam masa yang sama saya jumpa beberapa projek ‘debloat’ Android TV seperti “Clean Your TV”
Saya kongsikan di sini apa yang saya buat, bagaimana saya melakukannya, dan hasil akhirnya. Saya juga terangkan apa yang tidak dilakukan, supaya tiada salah faham.

TV Android
TV pintar jenama seperti TCL, Sony, Xiaomi dan Hisense (sesetengah model) menggunakan Android TV atau Google TV. Seperti telefon Android, ada satu menu tersembunyi bernama Developer options. Di situ, kita boleh mengaktifkan ADB (Android Debug Bridge), iaitu cara rasmi untuk pembangun aplikasi menyambung ke peranti Android dari komputer, untuk tujuan debugging dan pembangunan.
Pada TV, ADB boleh disambung melalui rangkaian Wi-Fi rumah. Jadi dari komputer riba, saya boleh melihat senarai aplikasi yang dipasang, mematikan aplikasi yang tak perlu, memasang aplikasi sendiri dan mengambil tangkap layar.
Inilah kelebihan sistem yang terbuka. TV Samsung (Tizen) dan LG (webOS) tidak membenarkan perkara ini, jadi cara di bawah tak boleh digunakan untuk TV jenama tersebut.
Bagaimana saya melakukannya
Seperti yang disebut di atas, ada projek sumber terbuka di GitHub bernama cleanyourtv , yang menyediakan skrip yang selamat untuk membuang bloatware (aplikasi yang tak diperlukan) daripada TV Android, serta skrin utama (launcher) yang ringkas. Projek ini sudah mempunyai senarai yang diuji untuk model TCL yang hampir sama dengan TV kami.
Seperti projek Kobo dulu, saya menggunakan Claude Code di komputer riba sebagai pembantu. Ia mengakses TV melalui ADB, menjalankan skrip projek tersebut, dan mengambil tangkap layar daripada TV selepas setiap perubahan supaya saya boleh semak hasilnya. Setiap langkah penting saya sahkan dulu sebelum dijalankan.
Secara ringkas, beginilah langkahnya:
- Semak dulu keadaan asal. Sebelum mengubah apa-apa, rekodkan versi Android, tarikh kemas kini keselamatan terakhir, tetapan privasi dan aplikasi yang menghubungi Internet. Sedikit mengejutkan: kemas kini keselamatan terakhir TV ini ialah November 2020, dan kedai aplikasi TCL di dalamnya menghubungi pelayan TCL dengan pengenal peranti, termasuk fungsi untuk memasang aplikasi secara senyap.
- Nyahaktifkan aplikasi yang tak perlu. Sebanyak 38 aplikasi dinyah-aktifkan, antaranya aplikasi analitik TCL, kedai aplikasi TCL, pengemas kini perisian TCL, Google Play Music dan Play Movies yang sudah ditamatkan, dan pembantu suara. Ini dibuat sedikit demi sedikit (lima kumpulan), dan selepas setiap kumpulan, pastikan input HDMI, alat kawalan jauh (remote) dan tetapan masih berfungsi.
- Pasang skrin utama baharu. Skrin utama Google yang penuh iklan digantikan dengan launcher daripada projek cleanyourtv. Ia ringan, tiada iklan, dan mudah diubah suai.
- Ubah suai ikut citarasa sendiri. Di sinilah bahagian yang paling seronok. Saya tambah ucapan “Selamat pagi” (bertukar mengikut waktu), jam bergaya retro, tarikh dalam tahun Hijriah, ramalan cuaca daripada Biro Meteorologi (BOM), dan waktu solat seterusnya bersama kiraan masa. Waktu solat dikira terus pada TV, tanpa Internet.
- Gambar sendiri sebagai latar dan screensaver. Gambar alam semula jadi yang saya ambil bertukar setiap 10 minit sebagai latar skrin utama. Bila TV tidak digunakan selama 15 minit, screensaver memaparkan gambar-gambar ini, termasuk gambar keluarga, dalam skrin penuh.
- Simpan dan kunci semula. Semua tetapan disimpan dalam satu skrip, supaya boleh dipasang semula jika TV di-reset. Akhir sekali, ADB dimatikan semula di TV.
Hasilnya

Skrin utama kini jauh lebih kemas. Di bahagian atas ada ucapan, jam, tarikh, tarikh Hijri dan cuaca setempat. Waktu solat seterusnya dipaparkan di sebelah kanan. Di bawahnya hanya ada aplikasi yang kami guna: Netflix, YouTube, ABC iview dan Waktu Solat.
Menu input juga lebih ringkas. Satu tekan sahaja untuk bertukar ke HDMI atau TV biasa.

Dan bila tiada aktiviti, tv akan lancarkan ‘screensaver’ yang akan memaparkan gambar koleksi saya sendiri.

Saya juga tambah jam dan tarikh di penjuru bawah screensaver, supaya TV masih berguna sebagai jam dinding bila tidak ditonton:

Apa yang TIDAK dilakukan
Ini penting supaya tiada salah faham:
- Bukan root atau jailbreak. Tiada perlindungan sistem yang dipintas. Semua menggunakan kemudahan rasmi Android untuk pembangun sistem.
- Bukan memasang sistem operasi baharu. TV masih menggunakan perisian asal TCL dan Android TV 9.
- Aplikasi tidak dipadam. Aplikasi hanya dinyah-aktifkan (disabled), dan boleh dihidupkan semula dengan satu arahan.
- Ia tidak menjadikan TV lebih selamat dari segi kemas kini. Kelemahan keselamatan Android sejak 2020 masih ada, kerana TCL tidak lagi mengeluarkan kemas kini untuk model ini. Mengemaskini TV tidak menutup kelemahan tersebut. Ia hanya mengurangkan aplikasi yang berjalan dan menghubungi Internet.
- Ia tidak membuang semua iklan. Iklan di dalam aplikasi seperti YouTube atau aplikasi TV percuma masih ada.
- Ia tidak boleh dibuat pada semua TV. Hanya TV Android TV / Google TV. Samsung, LG dan Roku tidak boleh.
Selamatkah?
Secara umumnya selamat, jika dibuat dengan berhati-hati:
- Boleh tukar fikiran & kembali ke pangkal jalan! Setiap perubahan direkodkan, dan ada skrip untuk memulihkan keadaan asal. Jika semua gagal, factory reset akan mengembalikan TV seperti baru.
- Jangan matikan sebarang aplikasi. Ada aplikasi yang diperlukan untuk HDMI, gambar dan alat kawalan jauh. Sebab itu saya menggunakan senarai yang sudah diuji, dan mematikan aplikasi sedikit demi sedikit.
- Matikan ADB selepas selesai. Semasa ADB aktif, peranti lain dalam rangkaian rumah boleh mengawal TV. Jadi selepas siap, matikan semula Network debugging dan USB debugging, dan pastikan sambungan itu benar-benar tertutup.
- Risiko sendiri. Pengeluar mungkin tidak menyokong perubahan seperti ini, terutamanya jika TV masih dalam tempoh waranti.
Berbaloikah?
Bagi saya, berbaloi:
- Lebih privasi. Analitik TCL, pengurusan jarak jauh dan kedai aplikasi TCL tidak lagi menghubungi pelayan mereka, dan ID pengiklanan Google boleh dipadam.
- Tiada iklan di skrin utama.
- Lebih peribadi. Ucapan, tarikh Hijri, waktu solat, cuaca tempatan, gambar sendiri: TV terasa seperti milik kita, bukan papan iklan.
- Memanjangkan hayat TV lama, berbanding membeli TV baharu.
Satu cadangan akhir: oleh kerana sistem TV ini tidak lagi menerima kemas kini keselamatan, jangan pasang aplikasi daripada sumber yang tidak diketahui. Jika mahu lebih selamat, pertimbangkan peranti streaming yang masih disokong, seperti Google TV Streamer, dan gunakan TV sebagai skrin sahaja.
adli@kingston