#77 - IRC Dulu, Kini, dan Selamanya
-
Beberapa hari lepas keluar berita yang Slack akan atau telah dibeli oleh Salesforce.com. Ini menunjukkan betapa popularnya aplikasi Slack masakini.
-
Banyak organisi memilih Slack sebagai alat untuk berkomunikasi sesama sendiri. Selain dari itu, webhook Slack boleh digunakan oleh sistem untuk menghantar amaran dan sebagainya. Contohnya, projek honeynet di tempat kerja menggunakan ElastAlert untuk membuat carian tertentu dalam ElasticSearch. Kalau ada padanan, hantar maklumat yang berkaitan ke saluran tertentu dalam Slack. Jadi, ElasticSearch <-> ElasAlert -> Slack
-
Slack ini tidak banyak beza pada asasnya dengan aplikasi sembang/bual lain seperti Telegram, Keybase ataupun yang lebih klasik lagi, IRC. Mungkin kelebihannya adalah ia boleh digunakan di telefon mudahalih, tablet dan komputer.
-
Saya teringat sekitar tahun 1994 bila diperkenalkan kepada IRC atau Inter Relay Chat. Waktu itu baru masuk University of Ottawa dan dalam salah satu perpustakaan ada sistem VMS yang boleh digunakan untuk mencapai rangkaian server IRC seperti Effnet, Undernet dan Dalnet. Antara keseronokannya ialah dapat berbual dengan pelajar/orang Malaysia di seluruh dunia. Saluran yang popular pada masa itu adalah #kampung, #mamak dan #surau :-)
Selain berbual, pengguna boleh membuat skrip atau bot yang diprogramkan untuk menjalankan arahan tertentu. Banyak juga aktiviti anti-sosial di dalam irc bila ramai mulai masuk, sama saja dengan mana-mana platform bersembang masakini yang melibatkan kumpulan.
- Antara aplikasi IRC yang terkenal ialah mirc. Nama pembangun aplikasi ini Khalid Mardam-Bey memang terpahat dalam ingatan sebab setiap namanya keluar apabila aplikasi dibuka. Saya biasanya guna mirc terutamanya sewaktu menggunakan lab Windows di universiti.
-
Kini mungkin tidak ramai lagi yang tahu tentang IRC. Tapi komuniti open source (contohnya freenode) dan keselamatan siber masih ada lagi menggunakannya. Sewaktu menjalankan latihan siber X-MAYA, IRC digunakan untuk berkomunikasi dengan pemain dan penganjur. Selain itu banyak juga, komuniti keselamatan yang ada saluran tertentu yang menerima maklum balas atau amaran berkaitan dengan sesuatu
-
Sejak beberapa tahun lepas saya menggunakan irssi atas OpenBSD. Kebanyakkan server dan saluran sudah tidak aktif lagi. Saya agak ramai yang sudah beralih kepada aplikasi sembang yang lain. Namun ada juga yang masih masuk dan parking . Sekali sekala ada juga dapat mesej dari kawan lama.