Pergi Haji - Permulaan (Bahagian 1)
Alhamdulillah pada bulan Ogos 2018, saya dan isteri dapat peluang untuk menunaikan ibadah Haji. Kami pergi dengan syarikat Labbaik bersama jemaah lain dari Australia, New Zealand, Fiji & New Caledonia. Saya kongsikan sedikit cerita dan pengalaman kami menunaikan haji. Semoga sedikit sebanyak boleh memberi manfaat.
Kuota Australia
Seperti orang lain, saya dan isteri juga menabung dengan Tabung Haji dan bercadang untuk pergi menunaikan haji giliran kami tiba - selepas tahun 2025 kalau tak silap. Apabila kami pindah ke Australia pada tahun 2014, isteri saya mulai mendapatkan maklumat kaedah untuk menunaikan ibadah haji dengan menggunakan ‘kuota Australia’. Dengar khabar, tak perlu tunggu lama dan boleh pergi jika cukup persediaannya.
Antara syarat utama untuk mendapatkan visa pergi haji dari Australia adalah seseorang itu hendaklah sekurang-kurangnya bertaraf pemastautin (atau permanent residence). Syarat utama ini kami tak lepas sehinggalah January 2018. Dalam pada itu, persediannya pun masih tidak mencukupi. Tapi sebenarnya, saya sendiri pun tak bersungguh-sungguh sangat untuk pergi, astaghfirullah. Banyak sahaja alasan kalau nak dikemukakan - kerja, duit, penjagaan anak-anak dan sebagainya.
Umrah 2013 & 2015
Pada tahun 2013, kebetulan ada kerja di Riyadh. Pada hari terakhir di Arab Saudi, Alhamdulillah setelah mendapat nasihat & panduan sahabat-sabahat, saya mengambil teksi dari lapangan terbang Jeddah terus ke Mekah. Beg-beg saya tinggalkan di locker berbayar di luar kawasan Masjidil Haram. Jadi dapatlah melihat Baitullah di Masjid al-Haram untuk pertama kalinya dan kemudian mengerjakan umrah. Selepas solat asar - saya terus ke Jeddah untuk pulang ke Malaysia. Tak sempat untuk ke Madinah dan saya berdoa agar dapat peluang untuk datang lagi dengan ahli keluarga.
Peluang kedua muncul pada hujung tahun 2015 ketika saya sudah berada di Australia. Kali ini saya dan isteri mengambil keputusan untuk pergi bersama dari Brisbane. Kebetulan pada masa itu waktu cuti sekolah di Australia. Kami mendapat bantuan Maktam untuk bersama anak-anak yang ditinggalkan. Hampir juga tidak pergi kerana pasport dan visa hanya tiba ke rumah 3 jam sebelum kapal terbang bertolak dari Brisbane ke Adelaide! Alhamdulillah semuanya selamat dan lancar. Prof Fauzan, sahabat dan bos pertama di UIA dahulu ada bersama kami. Beliau banyak berkongsi pengalaman dan menjadi mutawwif. Kali ini kami dapat pergi ke Madinah walaupun ‘balik hari’. Dapatlah solat di Masjid Nabawi dan rasa pengalaman untuk masuk ke kawasan Raudhah.
Labbaik!
Labbaik Travel adalah nama syarikat yang menguruskan jemaah haji dari Australia dan Oceania - termasuk New Zealand, Fiji, dan negara di kawasan Pasifik. Saya tidak pasti berapa lama mereka sudah beroperasi. Namun beberapa kawan yang tinggal di Australia pergi menunaikan haji bersama syarikat ini dan memberi maklum balas yang sangat baik. Pada January 2017, isteri saya menghubungi mereka dan diberitahu bahawa kerajaan Arab Saudi hanya mengeluarkan visa haji untuk rakyat Australia atau permanent resident. Maknanya kami yang berada di sini dengan visa pekerja tidak layak untuk mendapatkan visa haji.
Setelah mendapat status PR pada awal 2018, isteri saya menghubungi lagi Labbaik dan kali ni sepatutnya tiada masalah untuk mendapatkan visa haji. Jadi pada bulan Februari kami membayar separuh dari jumlah keseluruhan sebagai komitmen. Tentatif program adalah dalam 18 hari, termasuk perjalanan.
Proses Mendapatkan Visa
Untuk umrah dan haji, visa hanya akan di keluarkan menerusi kedutaan Saudi. Prosedur yang biasa adalah menghantar pasport beserta borang dan dokumen tertentu seperti salinan sijil nikah ke kedutaan melalui ejen haji (Labbaik Travel). Jika tiada masalah, pasport akan dipulangkan beserta dengan visa kepada kita. Oleh kerana saya perlu banyak keluar negara, saya hanya menhantar pasport kepada pihak Labbaik pada minggu pertama bulan Julai.
Namun setelah menghantar pasport, tiba-tiba pada 19 Julai kami diberitahu ada prosedur tambahan untuk mendapatkan maklumat biometrik. Untuk ini kami perlu ke Sydney (2 jam perjalanan dari Brisbane + kos tambahan) dengan segera atau tidak dapat visa haji!
Alhamdulillah pada 31 haribulan Julai kami diberitahu untuk mengambil pasport & ihram. Visa sudah diluluskan dan boleh betul-betul melakukan persiapan untuk ke tanah suci Madinah dan Mekkah Al-Mukarramah.