Bahagian Kedua

Photo by Adli Wahid via Unsplash

Sewaktu sekolah menengah dahulu saya ada belajar tentang haji. Dalilnya, hukum-hakamnya, jenis-jenis haji dan perkara yang membatalkan haji. Masalahnya, oleh kerana pada masa itu motif utama belajar ialah untuk lulus periksa maka banyaklah yang sudah lupa (dan keliru). Kemudian, bila belajar hanya teori kita tak dapat hayati konteks dan aspek amali.

Jadi sebagai persediaan perlu mengulangkaji dan dapatkan maklumat terikini. Nasib baik ada banyak bahan bacaan dan rujukan termasuk video-video di Youtube.

Bahan Bacaan Tambahan

Nota dari kursus haji - ringkas dan pelengkap kepada sesi ceramah persediaan haji

  1. Edisi Istimewa Haji & Umrah - Dato’ Haji Md. Daud Che Ngah (Galery Ilmu)
  2. Getting The Best Out of Hajj (Pilgrimage) - Abu Muneer Ismail Davids (Darussalam)
  3. History of Makkah - Shaikh Safiur-Rahman Mubarakpuri (Darussalam)
  4. Indahnya Hidup Bersyariat - Dato’ Haji Ismail Kamus & Mohd Azrul Azlen Ab Hamid (Telaga Biru)

Buku Dato’ Haji Md Daud Che Ngah dan Abu Muneer Ismail Davids pada saya cukup padat degan maklumat dan nasihat. Ia sangat berguna untuk jadi bahan rujukan. Ada banyak gambar-gambar yang disertakan untuk menjelaskan konsep, gambaran (peta) atau teknik sesuatu amalan. Dari segi kandungan pula, buku karangan Abu Muneer Ismail Davids membawa perspektif jemaah haji yang tinggal di negara seperti Amerika, Eropah & Australia.

Buku History of Makkah pula sangat berguna pada saya untuk memahami sejarah dan kemuliaan kota Mekkah. Selain dari menjadi tempat utama ibadah haji, Kota Mekkah berkait rapat dengan kisah Nabi Ibrahim dan keluarga baginda. Malah ritual ibadah haji seperti melontar jamrah dan sai antara Safa dan Marwah membawa kita ke kisah keluar Nabi Ibrahim Alaihissalam. Kota Mekkah juga hebat kerana ia adalah kota kelahiran Nabi Muhammad SAW dan tempat permulaan dakwah baginda - termasuk tempat turunnya ayat-ayat Al-Quran Al-Karim.

Selain dari buku di atas, set 3 buku “Doa Ajaran Ilahi, Rasul & Sahabat” (PTS Publication) saya rujuk untuk dapatkan doa-doa yang ma’thur. Kebetulan saya beli buku-buku ini beberapa tahun lepas.

Akhir sekali, setiap kasi selesai solat di Makkah dan Madinah akan ada solat sunat untuk jenazah. Bagus juga kalau ulangkaji cara & bacaan dari buku fiqh seperti buku Indahnya Hidup Bersyariat oleh Dato’ Ismail Kamus di atas.

Rujukan di Youtube

Selain membaca - banyak juga saya dapati video di Youtube yang bermanfaat terutamanya yang dalam bahasa Inggeris

  1. Practical Hajj Training oleh Imam Yahyai Adel Ibrahim - [kalau tidak silap beliau tinggal di Perth Australia]( )
  2. Hajj - The Journey of a Lifetime Practical Advice & Rituals oleh Yasir Qadhi
  3. Sahabat baik saya mencadangkan ceramah the Inner Dimension of Hajj oleh Sheikh Mukhtar Moughrawi
  4. Banyak juga dokumentari yang menarik seperti Islam in the Land of the Rising Sun: The Road to Hajj (Aljazeera) , From Xian to Mecca (Aljazeera) dan World Largest Pilgrimage
  5. Saya suka ikuti rakaman solat jemaah di Masjid Nabawi dan Masjidil haram di laman Youtube Haramain.info . Selain bacaan Al-Quran yang sangat baik serta peluang untuk memahami maksud ayat-ayat yang bibaca, kita juga boleh kenali imam-imam di sana.

Semoga sedikit perkongsian untuk memberi manfaat.

Akan datang, bahagia ketiga - pengalaman di Madinah & Mekkah.